Header Ads

ads header

Flash News

Presiden MCA perlu letak jawatan seperti Najib jika bermaruah


KUALA LUMPUR: Umno mencadangkan Datuk Seri Liow Tiong Lai meletak jawatan sebagai presiden MCA, sepertimana dilakukan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu perlu dibuat supaya parti berasaskan bangsa Cina itu dapat mencorak langkah lebih maju ke hadapan.

“Kita Umno menukar presiden, kita susun saf pimpinan cawangan sampailah ke majlis tertinggi. Itu peringkat Umno, saya nasihatkan MCA dalam hendak mencari kekuatan baru, harus mereka memperbaharui diri mereka.

“Kalau pimpinan berasa bertanggungjawab ke atas parti, satu-satunya cara bermaruah adalah meletakkan jawatan, seperti mana dilakukan Najib. Maka satu daripada kemungkinan adalah Liow berundur untuk kebaikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Liow yang memberi amaran Barisan Nasional (BN) akan dibubarkan atau Umno disingkir daripada gabungan itu jika parti itu bergerak ke arah politik teokrasi.

“Pilihan pertama adalah membubarkan BN kerana ia sudah tidak lagi menjadi gabungan keharmonian kaum. Pilihan kedua adalah tendang Umno keluar (BN).

“Kami (MCA) adalah parti yang mengamalkan kesederhanaan, kenapa patut kami tinggalkan BN? Kenapa kami tidak boleh menyingkirkan Umno?” kata Liow.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pendapat dikeluarkan Liow terhadap kerjasama antara Umno dan PAS sangat dangkal dan secara tidak langsung mencerminkan sikap, pendekatan dan pendirian MCA di bawah pimpinannya.

“Saya fikir apa yang disebut Liow itu sangat tidak relevan dan boleh saya katakan juga sebagai satu pendapat yang ‘shallow’, dangkal dan membuat kesimpulan yang tidak relevan.

“Sebab itu saya fikir, ia mencerminkan karakter dan wibawa presiden MCA. Sebab itu saya juga menyatakan, mempamerkan dan memperagakan kedangkalan budi bicara politik kemungkinan satu refleksi kepada prestasi MCA di bawah pimpinan Liow sendiri,” katanya.

Beliau turut berpandangan kenyataan Liow terhadap Umno itu adalah atas kapasiti peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian MCA dan sentimen masyarakat Cina secara umumnya.

“Ternyata, masih berlaku salah tanggapan tentang kerjasama dengan PAS dan saya mengulangi ketetapan parti bahawa kerjasama itu adalah atas kapasiti dan sifatnya sebagai parti pembangkang. “Pembangkang ketika ini ada 4 kumpulan, pertamanya BN, ke-2 terdiri daripada Gabungan Sejahtera, ke-3 Gabungan Parti Sarawak dan ke-4 adalah kumpulan wakil rakyat berstatus bebas.”

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan