Header Ads

ads header

Flash News

Jangan ambil kesempatan atas Institusi Diraja


PORT DICKSON: Penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bertujuan mempertahankan moral demokrasi, perundangan dan moral Institusi Diraja.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, moral demokrasi yang dipertahankan mesti adil, telus dan bersih dengan tidak ada calon mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

"Kita difahamkan bahawa ada calon yang boleh masuk kem tentera untuk mendapat undian awal, sepatutnya semua calon boleh masuk ke kem tentera, semua pihak (tentera) tidak boleh dipaksa kerana amalan demokrasi," kata Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu sidang media bersama calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, di sini petang tadi.

Jelasnya, parti Kongres di India yang dipimpin oleh Indera Ghandi pernah menyalahgunakan jentera kerajaan semasa kempen dalam pilihan raya, lalu perkara tersebut dibawa ke mahkamah dan mahkamah telah membatalkan kemenangannya yang kemudiaannya memaksa India mengadakan semula pilihan raya.

Sinis beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PRK tersebut diadakan bukan atas tujuan untuk memilih ahli parlimen di kawasan tersebut tetapi bertujuan untuk memilih perdana menteri.

"Adapun calon perdana menteri dipilih selepas kemenangan parti yang bertanding dalam pilihan raya umum dan dia jadi perdana menteri, bukan dengan cara mematahkan ranting di tengah jalan," jelasnya.

Menyentuh perihal pengampunan diraja kepada calon PH, beliau berkata apabila pengampunan dibuat bermakna mengaku salah kerana hanya yang tidak bersalah tidak perlu didakwa.

"Mesti mengaku salah minta ampun, kita kena sedar itu berlakunya, kepada Tuhan sekalipun, Tuhan Maha Besar Maha Agung.

"Taubat mesti, orang mengaku salah supaya tidak buat dosa lagi, tiba-tiba minta pengampunan, kalau tak bersalah kenapa minta pengampunan?" katanya.

Beliau turut berharap tiada pihak mengambil kesempatan atas Institusi Diraja atas kepentingan politik.

"Sepatutnya Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak diheret dengan begitu mendalam, dengan dibuat pengampunan seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung PAS tadi.

"Sepatutnya mengambil kira kelayakan, itu bukan tugas Agong (YDPA) itu tugas yang 'berkenaan', tetapi bila yang 'berkenaan' sudah mengambil keputusan nama calon diterima ini boleh mencacatkan institusi perundangan kita," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media yang sama menegaskan Anwar hilang kelayakan bertanding sebagai calon ahli parlimen kerana tidak mendapat pengampunan bebas.

"Kalau mengikut Perlembagaan Persekutuan, artikel 48 dengan jelas menyatakan bahawa seseorang yang dipenjarakan daripada satu tahun atau denda lebih RM2,000, bila dia keluar penjara dia hilang kelayakan untuk bertanding sebagai ahli parlimen selama lima tahun, kecuali dia mendapat pengampunan bebas free pardon, itu perkataan di dalam perlembagaan," kata Takiyuddin.

Justeru itu katanya, PAS berharap mahkamah segera membuat 'ruling' sebelum hari pengundian memutuskan kelayakan calon PH menyertai PRK seperti yang difailkan oleh salah seorang pengundi Port Dickson. – HARAKAHDAILY 7/10/2018



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan