Header Ads

ads header

Flash News

Undang-Undang Anti Lompat Parti Demi Kestabilan Demokrasi Negara


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemasukan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) yang mana telah menambah majoriti jumlah ahli Parlimen PH sebagai parti pemerintah. Fenomena ini telah menjadi bualan rakyat sejak pilihanraya umum pada Mei lepas berikutan begitu mudahnya ahli Parlimen yang asalnya berkempen dengan parti lama kemudiannya menukar kesetiaan kepada parti baru yang seterusnya menyebabkan majoriti parti lama mereka berkurang di Parlimen. Persoalan yang timbul adalah, perlukah undang-undang anti lompat parti diwujudkan pada masa ini?

Untuk makluman pembaca, Kerajaan Malaysia tidak bercadang menggubal undang-undang anti lompat parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan buat masa ini setiap warganegara dijamin hak untuk bebas berpersatuan. Katanya lagi, ia selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. “Hak untuk bebas berpersatuan ini turut dibincangkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes DUN Kelantan & Anor V Nordin Salleh & Anor (1992) dan masih terpakai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat.

Saya berpendapat undang-undang ini relevan untuk digubal di Parlimen bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara kita. Ini kerana rakyat mengundi calon pilihanraya tersebut dengan penuh harapan dan keyakinan bahawa individu dan parti yang diundi itu membawa aspirasi yang diinginkan oleh rakyat.

Apabila calon yang menang itu menukar parti selepas pilihanraya umum, secara automatiknya rakyat akan berasa dikhianati kerana tindakan itu tidak sehaluan seperti yang diharapkan oleh rakyat. Sudah pasti wujudnya perasaan ‘sia-sia beratur panjang untuk mengundi di hari pilihanraya’. Hakikatnya, tindakan melompat parti ini akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan politik yang tidak menentu.

Kritikan umum tentang cadangan undang-undang ini adalah atas alasan ianya menyekat kebebasan berpersatuan seperti yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c), Perlembagaan Persekutuan. Ia telah disebut secara jelas dalam penghakiman kes Nordin Salleh pada 1992 yang mengabsahkan hak bagi individu untuk menyertai mana-mana parti yang dipilih oleh individu. Walaubagaimanapun, secara moral, tindakan ini tetap salah dan tidak beretika.

Salah satu cara yang boleh digunakan untuk menggubal undang-undang anti lompat ini adalah pindaan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan undian ahli-ahli Parlimen sebanyak 2/3 majoriti bagi memberi laluan kepada wujudnya undang-undang ini. Namun, secara realitinya, situasi ini agak sukar berikutan kerajaan sekarang tidak memiliki 2/3 majoriti undi di Parlimen. Tambahan pula, kemasukan ahli-ahli parlimen BN kepada parti pemerintah tentunya membuat mereka keberatan untuk membentang rang undang-undang ini di Parlimen.

Apa yang pasti, rakyat sedang memandang ahli parlimen sebagai individu yang mewakili mereka dalam menyuarakan suara hati rakyat di Parlimen. Tindakan mereka akan dinilai dan menjadi ukuran kepada individu dan parti mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Oleh itu, rakyat perlu menjadi ejen pendesak agar undang-undang ini diwujudkan untuk kestabilan politik dan sosio ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Sdr Ahmad Khairul Ridhwan Mohamed Hanif,
Ahli Pemuda PAS Batu

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

2 ulasan:

  1. .
    Selagi pihak 'pembohong' yang berada di pusat mendapat faedah dari kegiatan tidak sihat seperti lompat-melompat ini, jangan berharap sangat akan ada peraturan bagi menghalang aktiviti sebegini.
    .

    BalasPadam
  2. Setuju dgn cadangan penulis,kerana pengundi kebykn pengundi mengikut parti. Jd bila lompat ini mgkhianati pengundi. Tp jgn hlg pelompat utk brtanding semula.

    BalasPadam