Header Ads

ads header

Flash News

Ketokohan Tuan Guru Haji Harun Taib




Petang semalam, direzekikan Allah Taala, dapat bertemu mata dengan Sahibul Fadhilah, Syeikh Tirmizi Taha Ptbr tanpa dirancang-rancang. Ketika di negeri Darul Ehsan, terdetik di hati rasa kerinduan pada guru-guru di Terengganu. Rasa seperti mahu pulang dan rancang untuk berada di dalam majlis mereka. Alhamdulillah, baru dua hari di negeri ini, Allah temukan tanpa sengaja dengan Sahibul Fadhilah walaupun sekejap cuma. Namun, sudah cukup, memenuhkan rasa kerinduan yang membuak-buak.


Dapat juga mengutip satu dua nasihat buat dijadikan pedoman hidup, panduan melayari bahtera kehidupan yang sudah pasti memerlukan bimbingan para guru agar terus istiqomah di atas jalan yang benar.

Pertemuan semalam, dapat mengungkap beberapa kisah pengajaran dari al-Marhum Tuan Guru Harun Taib. Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib disifatkan oleh Syeikh sebagai orang yang kuat belajar, dan tekun terhadap ilmu. Pernah diceritakan pada kami, al-Marhum ketika mengaji di al-Azhar, rutin harian beliau keluar awal pagi, balik di malam hari. Sepanjang hari-hari beliau dihabiskan di perpustakaan al-Azhar dan masjid. Membaca, menilik kitab-kitab serta berteleku dengan para masyaikh. Hal ini, sangat sedikit dicontohi oleh generasi muda.

Syeikh ketika pernah berada dalam perpustakaan beliau, sempat membelek buku-buku milik al-Marhum. Semua buku-buku milik beliau bertanda. Pembacaan al-Marhum sangat luas dan teliti. Tidak sedikit bahkan mencakupi pelbagai bidang.

Selain itu, al-Marhum juga disifatkan sebagai orang yang hidupnya sarat dengan perjuangan, hingga usianya dihabiskan dalam perjuangan dan tidak sempat mengumpul harta seperti orang kebiasaan. Bil telefon sebulan hampir beribu-ribu, kerana selalu menelefon sahabat-sahabat luar negara, bertanyakan khabar dan keadaan semasa tentang sahabat-sahabat seperjuangan disana. Sepanjang bergelar wakil rakyat, beliau sangat cakna dengan kebajikan masyarakat yang diwakilinya.

Walaupun sifatnya tegas, tetapi amanah kepimpinan tetap digalasnya sebaik mungkin.

Antara sikap yang bagus pada al-Marhum adalah, beliau punya pandangan sendiri dalam banyak perkara dan isu-isu yang berlaku. Tetapi sekali ia diputuskan oleh kepimpinan dan musyawarah, beliau akan tinggalkan pandangannya dan memakai pandangan musyawarah terlebih dahulu.

Seperti pernah berlaku sekitar tahun 2010, ketika PAS sedang dalam perancangan bergabung dengan DAP, beliau antara pimpinan Majlis Syura yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan DAP di atas alasan-alasan beliau sendiri. Setelah Majlis Syura memutuskan satu keputusan untuk bertahaluf, maka waktu itu, ketika wartawan bertanya pandangan beliau, ringkas jawapannya, "Pandangan mesyuarat adalah pandangan saya."

Beliau juga antara orang yang tidak suka memberikan pandangan yang boleh dimanipulasi di hadapan media yang opportunis. Seperti yang pernah kami alami sendiri, ketika kami mengunjugi rumah beliau, buat meminta beberapa nasihat dan pandangan, pertemuan kami diganggu oleh seorang wartawan yang menelefon beliau untuk meminta pandangan tentang sesuatu isu. Beliau menjawab ringkas, "Saya takdok (tiada) jawapan dalam hal ini. Awak pergi tanya orang lain."

Sikap begini sudah pasti menenggelamkan beliau daripada alam populariti, tetapi baginya maslahat yang ditanggung jemaah lebih utama berbanding pandangan beliau sendiri. Al-Marhum kurang popular sepanjang hayatnya, kerana kurang kontroversi membabitkan namanya, tetapi tetap menjadi buah rujuk ramai orang. Pimpinan jemaah yang muda-mudi hari ini, mungkin popular tetapi belum tentu menjadi buah rujuk orang ramai.

Antara kelebihan lain yang dianugerahkan Allah pada beliau, adalah ketajaman dalam dia memandang seseorang atau sesuatu masalah. Banyak hal yang diketengahkan dalam isu-isu negara dan jemaah, terbukti kebenaran pandangan-pandangan beliau setelah kematiannya. Jika ingin diberi contoh terlalu banyak dan terlalu sukar untuk dikisahkan disini.

Beliau juga mampu mengenali dan mengingati setiap orang yang pernah beliau jumpa. Memiliki pengetahuan tentang setiap anak-anak buah beliau. Penting bagi seorang guru mengenali satu persatu ahwal muridnya. Dari situlah pentarbiyahan akan lebih berkesan sesuai dengan ahwal orang yang menerimanya.



Akhir pertemuan kami, Syeikh memberi beberapa pesanan penting untuk direnung bersama.

1. Syeikh pesan, hidup belajar kena kuat talaqqi dan banyak berguru. Akibat kurang berguru dan talaqqi, manhaj ilmu kita boleh jadi cacamerba. Jika manhaj ilmu sudah rapuh dan cacamerba, boleh jadi apa yang kita sampaikan pada masyarakat kelak tidak menguntungkan mereka malah membinasakan pula kesatuan mereka.

2. Tidak gopoh dalam menerbit buku (atau boleh disimpulkan juga, tidak gopoh mengeluarkan pandangan dalam sesuatu isu). Sikap gopoh tidak menguntungkan diri, bahkan akan membawa pelbagai kesan-kesan yang tidak baik di hari mendatang. Dalam menulis buku, atau mengeluarkan pandangan, biarlah teliti dan tekun.

Tidak puas mendengar nasihat dan sepertinya tidak mahu berpisah dengan Syeikh. Tetapi masa akan membataskan di setiap pertemuan. Moga-moga terus menerus diberi rezeki oleh Allah Taala untuk bersahabat dan berguru dengan orang-orang alim serta soleh seperti Fadhilah as-Syeikh supaya hidup sentiasa dipayungi bimbingan dan tunjuk ajar oleh mereka yang sudah banyak melalui usia dan zaman.

Moga Allah sentiasa memberi kebaikan pada al-Fadhil Syeikh Tirmizi serta seisi keluarga beliau atas kebaikan beliau berkhidmat pada umat Nabi Muhammad Sollahu Alaihi Wassalam.

P/s : Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah buat al-Marhum TG Harun Taib serta doakan roh beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan solehin.

Entri ini pula telah diizinkan oleh Tuan Syeikh Tirmizi Taha untuk dikongsikan secara umum. Silakan kongsi jika dirasakan isi dari entri ini bermanfaat.

(Attapawi)


MR :  Seorang pemimpin yang tak mencari nama dan pangkat... nampak kasar tapi ikhlas dalam perjuangan


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Peminat Kopi? Dapatkan Kopi Ginseng Tongkat Ali Disini >>KLIK SINI<< Sedap Pekat Melekat KAW KAW. PENGHANTARAN PERCUMA.
 Sakit BerTAHUN-TAHUN, Akhirnya SEMBUH apabila dia terjumpa SESUATU yang ...... >>KLIK SINI<< untuk info lanjut.
 Kelas Kek, Roti, Bun, Puff, Danish Dgn Video Chef. Belajar dari rumah. Klik Sini >>>






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan