Header Ads

ads header

Flash News

Mat Sabu didesak kotakan janji beri bonus, kekalkan kadar dividen


KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) mendesak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengotakan janjinya berhubung pemberian bonus 6 peratus bagi Tahun Kewangan 2018 Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang akan diumumkan, pagi ini.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, jaminan menteri pertahanan itu meliputi pemberian bonus dalam bentuk tunai dan amanah saham kepada warga tentera menerusi LTAT.

“Kerajaan ada beri jaminan untuk meneruskan pemberian bonus 6 peratus dalam bentuk tunai dan amanah saham kepada warga tentera menerusi LTAT pada 11 September 2018.

“Ini melibatkan jaminan menteri sendiri dividen itu tidak akan rendah daripada jumlah yang dijanjikan oleh beliau (12.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, A’zlan juga berharap kerajaan dapat mengumumkan pemberian dividen LTAT bagi Tahun Kewangan 2018 tidak kurang daripada 12.5 peratus atau lebih.

“Tuntut menzahirkan pengharapan besar agar pengumuman itu nanti akan memberikan khabar gembira buat perajurit tanahair kita.

“Kita tahu bahawa peranan LTAT ini adalah sangat penting dalam menjaga masa depan keluarga tentera terutamanya sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka kepada negara.

“Kalau kita lihat dividen sebelum ini yang diumumkan bagi tahun kewangan 2017 adalah sebanyak 12.5 peratus, adakah dividen untuk tahun kewangan 2018 akan kekal mahupun meningkat?,” katanya.

Sementara itu, Tuntut turut mempersoalkan pelantikan firma audit Ernst & Young (EY) yang telah mendedahkan tujuh salah tadbir urus kewangan LTAT.

“Kami melihat kredibiliti EY ini seolah-olah mengulangi skrip jalan cerita yang hampir sama berlaku terhadap Tabung Haji, yang mana antara alasan yang diberikan adalah terlebih bayar dividen kewangan tahun sebelumnya.

“Antara alasan lain yang kita persoalan juga adalah aset LTAT dinyatakan lebih tinggi daripada apa yang ada bagi 2015-2017.

“Adakah ini akan berulang kepada LTAT juga? Bagaimana pula dengan prosedur pelantikan EY ini sebagai firma yang menjalankan audit kepada LTAT?,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan diingatkan tidak mengambil mudah terhadap caruman warga tentera terutamanya mereka yang berjawatan dan bergaji rendah.

“Diingatkan juga bahawa caruman mereka ini adalah wajib bagi mereka yang berpangkat rendah, sudah tentu gaji mereka juga rendah.

“Oleh itu, sudah tentu Kerajaan harus memastikan setiap caruman mereka tidak sesekali dikecewakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan