Header Ads

ads header

Flash News

Bekas senator dikait rakaman audio gesa Latheefa letak jawatan


PETALING JAYA: Bekas senator Khairul Azwan Harun yang dikaitkan dalam pendedahan rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak Latheefa Koya meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya badan anti rasuah itu.

Khairul Azwan berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengaitkan dirinya dalam urusan 1MDB dan SRC dalam apa juga bentuk. Bahkan, andaian dibuat Latheefa itu menurutnya merupakan satu tindakan drama politik murahan semata-mata.

“Saya desak kerajaan baru segera memperbetulkan kerosakan integriti dan kredibiliti yang berlaku dalam SPRM, serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan penguat kuasa bebas ini semula.

“Bagi menjaga imej serta intergriti SPRM daripada terus tercemar disebabkan tindakan yang tidak bertanggungjawab Latheefa, saya mendesak beliau dengan serta merta meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, SPRM mendedahkan 9 rakaman yang antara lain dikatakan suara bekas perdana menteri Najib Razak; isterinya, Rosmah Mansor; bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Pendedahan rakaman itu mengundang kritikan daripada ramai peguam, mengatakan ia menyalahi undang-undang untuk mengintip dengar perbualan telefon, dan ia boleh membawa kepada perbicaraan melalui media.

Latheefa menepis kritikan itu dan menyerahkan rakaman audio berkenaan kepada polis.

Khairul Azwan juga menyeru semua ahli Parlimen merujuk Latheefa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana sudah merosakkan kredibiliti dan nama baik suruhanjaya berkenaan.

“Tindakan Latheefa tersebut adalah tindakan yang dangkal dan menjijikkan. Tindakan beliau itu amat mengaibkan serta menjejaskan reputasi saya. Saya sudah arahkan peguam saya, M Reza Hassan untuk menasihati saya, berkenaan hak saya yang wujud di bawah undang-undang,” katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan