Header Ads

ads header

Flash News

Jangkaan Malaysia boleh jadi kes 1000 sehari


Dalam berdepan kemungkinan tsunami gelombang ketiga wabak Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah proaktif untuk menambah bilangan katil di hospital dan memperkasa usaha pembendungan.

Dalam sidang media petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan mereka kini sedang bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan bilangan kes melonjak kepada 1,000 kes baru sehari.

“Baik kita bersiap siaga untuk yang terburuk, dan berdoa untuk yang terbaik.

“Lebih baik terlebih persediaan daripada kurang persediaan. Jika kita kurang persediaan, itu maknanya kita tidak bersedia,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini sebanyak 5,292 katil tersedia di hospital.

KKM kini dalam usaha menyediakan 600 katil di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Persediaan di Maeps
“Jika kita perlu (lebih katil), katil-katilnya sudah ada tersedia,” katanya yang berkata kemudahan itu akan sedia digunakan esok.

Sebelum ini bank pelaburan antarabangsa JP Morgan menganggarkan jangkitan Covid-19 di Malaysia akan mencapai 6,300 kes pada pertengahan April.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula menjangkakan kemuncak jangkitan pada kadar 8,900 kes.

PKP lebih ketat untuk lindung kawasan selamat

Sementara itu, Hisham berkata masih terlalu awal untuk menjangka kadar jangkitan Covid-19 menjelang Ramadan yang dijangka pada 23 April - dan Hari Raya Aidilfitri sebulan selepas itu - yang merupakan musim balik kampung buat berjuta rakyat Malaysia.

Meskipun begitu, beliau berkata KKM akan menggunakan pendekatan PKP diperketatkan untuk menghalang kenaikan drastik kes jangkitan menjelang musim perayaan itu.

KKM telah mengenal pasti zon merah - kawasan yang mencatat lebih 41 kes dalam masa 24 jam.

Jika berlaku peningkatan drastik di kawasan-kawasan berkenaan, pendekatan PKP diperketatkan akan dikuatkuasakan.

Hisham berkata, pendekatan itu bukan sahaja dengan mengasingkan zon merah, tetapi juga untuk melindungi kawasan lain daripada jangkitan.

“Di zon merah, kami akan ketatkan PKP.

“Tapi di zon hijau, kami perlu lindungi (kawasan-kawasan) itu,” katanya, dengan merujuk China yang juga menggunakan pendekatan sama dengan mengenakan perintah berkurung di tiga bandar bagi melindungi ibu kota Beijing.

Setakat ini, dua kampung di Kluang, Johor dikenakan PKP diperketatkan.

“Setiap orang di KKM bekerja tanpa henti bagi memastikan kami dapat memberikan (khidmat terbaik) dan menurunkan kes. Dan mungkin membuktikan bahawa ramalan ini (6,300 kes) tak benar,” katanya lagi.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan