Header Ads

ads header

Flash News

Kabinet tanpa TPM strategi baik untuk survival Muhyiddin, kata penganalisis


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik memuji langkah Muhyiddin Yassin mengecualikan jawatan timbalan perdana menteri daripada Kabinetnya yang disifatkan strategi baik bagi membantu memastikan survival politiknya.

Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia berkata, pemilihan calon daripada mana-mana parti komponen Perikatan Nasional untuk jawatan itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kritikan dalam kalangan gabungan berkenaan terhadap Muhyiddin.

“Ada individu daripada Umno dan PPBM yang akan menyasarkan jawatan TPM. Memberinya kepada sebuah parti akan menyebabkan parti lain tidak puas hati,” katanya kepada FMT.

Sebaliknya, beliau berkata, mengosongkan jawatan itu akan memastikan saingan sihat dalam kalangan mereka yang menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri selepas tempoh Muhyiddin tamat.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya yang menyaksikan jumlah timbalan menteri melebihi menteri, iaitu 38 berbanding 32 orang.

Bagaimanapun, Kamarul berkata, ini tidak dapat dielakkan.

“Muhyiddin perlu mendapatkan seramai mungkin ahli Parlimen bagi mengelakkan mereka menyokong blok lain.”

Dengan menambah bilangan menteri dan timbalan menteri dari Malaysia Timur, katanya, Muhyiddin turut memastikan sokongan lebih baik dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini melantik 4 menteri penuh dan 3 timbalan menteri dari Malaysia Timur, manakala Muhyiddin pula melantik 6 menteri penuh dan 11 timbalan menteri.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, Kabinet Muhyiddin sama dengan kerajaan lama Barisan Nasional yang lebih ramai daripada PH.

Katanya, Muhyiddin mungkin menunjukkan kesediaannya mencuba “sesuatu yang baru” dengan memperkenalkan menteri kanan bagi menyelaras pelbagai kementerian.

“Sama ada ia akan berhasil atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, antara “pemenang” terbesar dalam Kabinet Muhyiddin ialah bekas pemimpin PKR yang bersekutu dengan Mohamed Azmin Ali, semua kecuali seorang yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Katanya, Rashid Hasnon ialah timbalan speaker Dewan Rakyat, manakala pelantikan Hanifah Hajar Taib, ahli Parlimen Mukah dan anak perempuan Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud, menunjukkan bekas ketua menteri itu masih “sangat berpengaruh”.

Beliau berkata, komposisi Kabinet itu untuk memastikan survival Muhyiddin dan ia mungkin berubah menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.

Azmi Hassan daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, pelantikan Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Fadillah Yusof sebagai seorang daripada 4 menteri kanan menunjukkan Muhyiddin memfokuskan keperluan Sabah dan Sarawak.

“Malah, bagi saya, Sabah dan Sarawak ialah pemenang terbesar. Mereka mempunyai lebih ramai wakil, seorang menteri kanan, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio khas untuk hal ehwal Sabah dan Sarawak.”

Katanya, 4 menteri kanan itu ialah cerminan kepada 4 parti yang “membentuk Perikatan Nasional bersama sebagai sebuah kerajaan” dan skala besar Kabinet itu menunjukkan keperluan untuk perkongsian kuasa dalam gabungan berkenaan.

MR :  PN kena kemas strategi untuk hidup lama..


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan