Header Ads

ads header

Flash News

Kerajaan beri tumpuan bangunkan industri buluh


Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan media hari ini berkata saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018.

Bagaimanapun, katanya, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

"Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini," katanya.

Mohd Khairuddin berkata beliau turut membentangkan status pembangunan industri buluh negara dan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Jelasnya, pokok buluh merupakan tumbuhan mudah ditanam dan dijaga kerana tempoh matangnya yang singkat iaitu di antara tiga hingga empat tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.

Ketika ini, beliau berkata terdapat kira-kira 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.

"KPPK melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) juga menyediakan insentif pinjaman mudah bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh.

"Pinjaman sejumlah RM10,000 sehektar disediakan untuk pembangunan ladang skala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41–2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas)," kata Mohd Khairuddin.

Lima spesies buluh yang dikenal pasti di bawah PPLH adalah spesies buluh betung, buluh semantan, buluh beting, buluh beti dan buluh hitam.

Bagi menyokong pembangunan industri buluh, katanya, kementerian itu akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti.

Kata Mohd Khairuddin makmal tisu kultur tersebut berupaya menghasilkan sehingga 100,000 anak benih buluh sebulan apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

Selain memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program pembawa perubahan dalam RMK12, kementerian itu juga sedang menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025 yang dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun ini.

- Bernama


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan