Header Ads

Header ADS

Lelaki Thailand terkandas di Malaysia rindu keluarga sanggup berenang untuk pulang


BANGKOK
: Seorang nelayan rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia selama beberapa hari selepas penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan nekad berenang untuk pulang ke tanah airnya.

Bagaimanapun, lelaki berusia 45 tahun dari Piman yang terletak dalam daerah Muang di Satun, selatan Thailand telah ditemui dalam keadaan kepenatan dan hanyut di laut berhampiran pantai Puyu subdaerah di Satun semalam.

Dia kemudian diselamatkan Polis Marin.

Lelaki itu terkandas di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis selama beberapa hari susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan sejak 23 Mac.
Merindui ahli keluarga dan tidak pasti bila pusat pemeriksaan itu akan dibuka semula, lelaki tersebut nekad untuk berjalan ke kawasan sempadan paling hampir sebelum menyeberanginya.

Inspektor Polis Marin Satun Leftenan Kolonel Banjerd Manavej berkata lelaki berjalan selama dua hari sebelum tiba di sebatang terusan seluas kira-kira 100 meter dan dia mengambil keputusan untuk berenang menyeberanginya.
Bagaimanapun, arus deras telah menghanyutkan lelaki itu ke laut, katanya.

"Nelayan di kampung itu ternampak dia berenang dan memaklumkan perkara itu kepada polis pada kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) semalam.

"Dia dalam keadaan kepenatan ketika kami menjumpainya. Bagaimanapun, dia kelihatan amat gembira melihat kami.

"Dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan. Dia dalam keadaan sihat dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kuarantin negara di Satun," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Banjerd berkata lelaki itu memberitahu polis bahawa dia hanya membawa sebotol air dan sebekas bekal makanan semasa perjalanan pulangnya.

Lelaki itu telah didakwa memasuki negara tersebut secara haram dan didenda 800 baht.

Sementara itu, Banjerd berkata Polis Marin meningkatkan rondaan di perairan Thailand-Malaysia bagi menghalang rakyat negara tersebut yang terkandas di Malaysia mencuri masuk susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Bermula 23 Mac, kerajaan Thailand telah menutup sembilan pusat pemeriksaan ke Malaysia di kawasan sempadan sehingga notis selanjutnya dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Thailand telah mengumumkan bahawa rakyatnya yang masih terkandas di sempadan Malaysia akan dibenarkan pulang jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan bermula 18 April.

-- BERNAMA

MR :  Rakyat Malaysia suruh duduk rumah dengan isteri dan keluarga masih nak keluar


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.