Header Ads

ads header

Flash News

Perak kini bebas kes aktif Covid-19


PERAK kini negeri bebas daripada kes aktif Covid-19 selepas dua pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, sembuh dan dibenarkan keluar semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini menjadikan kesemua 247 pesakit positif Covid-19 yang direkodkan di negeri itu pulih daripada wabak berkenaan.

"Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming, hari ini. Maka, hospital seluruh Perak adalah sifar pesakit Covid-19, Alhamdulillah " katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir pada majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan untuk petugas barisan hadapan antaranya peralatan perlindungan diri (PPE) daripada syarikat My Vista dan Syarikat Kangsor Hydro yang diserahkan kepada Dr Ding.

Ahmad Faizal turut menerima sumbangan berjumlah lebih RM600,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Syarikat Renesas International bersama-sama Syarikat Carsem (M) Sdn Bhd, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Syarikat Kangsor Hydro untuk Tabung Bencana Covid-19 Negeri Perak selain sumbangan pek makanan kering bersempena Ramadan oleh Syarikat Headlines International Sdn Bhd.

Menteri Besar berkata, bagaimanapun, perkara itu tidak bermakna rakyat Perak boleh terus selesa dengan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu untuk tidak bersalaman, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri.

"Saya menyarankan semua rakyat jangan fikir PKP telah pun tamat, PKP masih ada ...tetap amalkan jarak sosial. Saya fikir itu satu budaya baharu yang kita perlu amalkan selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Dr Ding berkata, sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 253 kes positif Covid-19 dan enam kematian direkodkan di Perak.

"Bagaimanapun, kesemua 247 kes positif Covid-19 (253 kes positif tolak enam kematian) telah pulih dan dibenarkan pulang dengan dua pesakit terakhir di HRPB dibenarkan pulang petang semalam," katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui laman sosial media Facebook rasminya semalam melaporkan Perak masih kekal dengan dua kawasan zon merah iaitu Durian Sebatang di daerah Hilir Perak dan Ipoh di daerah Kinta.

Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan