Header Ads

ads header

Flash News

PKP bendung penularan Covid-19 ke tahap 'sedikit stabil' kata Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu membantu membendung penularan Covid-19 ke tahap yang "sedikit stabil".

Beliau berkata ia dapat dilihat daripada trend kes Covid-19 serta trajektori yang ditunjukkan kajian yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Namun ia masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

"Malah ia perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baru dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

"KKM menyambut baik pelanjutan dua minggu PKP yang diumumkan perdana menteri sebentar tadi. Ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memerangi penularan Covid-19 ini, sebelum kita dapat menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitannya," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin mengumumkan PKP yang dijadual berakhir 14 April ini akan dilanjutkan dua minggu lagi, iaitu sehingga 28 April.



Pada masa sama beliau berkata beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, dan senarai sektor terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.

Noor Hisham turut memetik peringatan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus bahawa tindakan agresif seperti PKP dapat memberi peluang kepada negara untuk melawan penularan Covid-19.

"Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menamatkan perintah ini dengan terlalu awal boleh menyebabkan penularan semula wabak...Orang ramai akan terus dijangkiti, warga emas dan golongan berisiko tinggi akan terkesand an kapasiti sistem kesihatan akan semakin tipis," katanya lagi.

Pemeriksaan di kawasan PKPD

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 1,634 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan di beberapa lokasi di Simpang Renggam, antaranya Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid, yang merupakan lokasi pertama perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan.

Daripada jumlah itu, katanya, terdapat 138 kes positif manakala 1,496 lagi negatif.

"79 kes positif dikesan sebelum PKPD (dikuatkuasakan) manakala 59 kes positif dikesan selepas itu. Terdapat tiga kes kematian Covid-19 dari kawasan ini (kes ke-1,114, kes ke-1,251, dan kes ke-2,627)," katanya,

Katanya lagi, KKM turut membuat pengesanan kes secara aktif (ACD) di kawasan sekitar Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid, yang dikenal pasti sebagai buffer zone, meliputi Kampung Dato Ibrahim Majid, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Salleh dan Taman Seri Bayu.

"ACD dilaksanakan ke atas sekitar 1,500 orang...13 kes didapati positif, 88 kes negatif dan 258 kes dalam proses ujian makmal," katanya.

Selain itu, katanya lagi, KKM turut menjalankan beberapa program sepanjang PKPD, antaranya ACD dari rumah ke rumah, pengambilan sampel dan kegiatan disinfeksi.

Kawasan lain yang turut dikenakan PKPD ialah kondominium City One di Kuala Lumpur, tujuh kampung di Hulu Langat Selangor, serta bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Setakat tengah hari ini, Malaysia merekodkan 4,346 kes Covid-19. Daripada jumlah itu, seramai 1,830 pesakit telah sembuh manakala 70 lagi meninggal dunia.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan