Header Ads

ads header

Flash News

'Selain Muafakat Nasional dan BN tak strategik buat kelangsungan Umno'


Umno tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) - itu penegasan dibuat Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkenaan kedudukan parti itu dalam kerajaan semasa.

Membuat kenyataan itu sebagai mengulas tulisan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, Mohamad berkata Umno tidak berada dalam keadaan dilema dan hal itu perlu dijelaskan agar semua pihak memahami kedudukan parti terbabit dan haluan politiknya.

"Umno tidak pernah menyertai PN kerana PN bukan entiti politik yang berdaftar seperti BN.

"Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

"Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH, dan tidak lebih daripada itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri menulis rencana mengenai "dilema Umno" dalam kerajaan PN.

Antara lain Ong mendakwa sukar untuk Umno mengambil sikap positif terhadap "pembelot" dan memberikan tempat kepada mereka terus bertanding mewakili Bersatu pada PRU akan datang.

Ia merujuk kepada puluhan bekas ahli parlimen Umno yang meninggalkan parti itu - selepas PH membentuk kerajaan pada 2018 - dan menyertai Bersatu.

Jalankan program agar kian kukuh

"Sekali lagi, sukar untuk melihat Umno atau PAS memberi laluan kepada ahli parlimen Bersatu ini pada PRU15.

"Umno membuktikan bahawa ia dapat mengalahkan Bersatu sebagai parti pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan, masing-masing dalam pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai di Johor dan Kimanis di Sabah," tulis Ong.

Mohamad berkata persefahaman yang dicapai Umno ketika ini berbeza daripada kerjasama mereka dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi melalui suatu piagam dan melalui pelbagai proses sebelum ia dimeterai.

Katanya, Umno juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat parti itu dengan MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) melalui BN.

"BN pula ialah sebuah entiti politik yang terdaftar.

"Maknanya Umno dan PAS, serta Umno dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihan raya sebagai sebuah gabungan," katanya.



Menurut Mohamad lagi jika tidak berjaya sekali pun, kerjasama politik itu tetap kekal dan berfungsi.

Pada masa sama bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menambah, kerjasama dalam Muafakat Nasional dan BN diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti di pelbagai peringkat agar ia semakin kukuh.

"Justeru, Umno tidak akan menghadapi apa jua dilema tentang kedudukannya dalam PN.

"Ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN, apatah lagi Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak.

"Ia hanya menyertai kerajaan atas dasar mendukung Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia," katanya.



Sebagai parti politik, kata Mohamad, tugas dan fokus Umno ketika ini ialah menyediakan parti itu bagi memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.

Katanya, beliau yakin Umno akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum seperti selalu.

"Sebagai parti politik Melayu terbesar, Umno mesti bertanding di semua kerusi tradisionalnya dan kerusi yang ia sangat berpotensi untuk memang.

"Kekuatan Umno adalah di kawasan the Malay heartland dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan tersebut," katanya.

Tambah beliau, Umno sentiasa mengalu-alukan pihak yang mahu bekerjasama dengan parti itu, tetapi mestilah dengan keikhlasan dan kesediaan mereka menyertai Muafakat Nasinal ataupun BN.

"Umno sangat menghargai setiakawan rakan-rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.

"Sesuatu yang lain daripada Muafakat Nasional dan BN adalah tidak strategik kepada kelangsungan Umno," katanya.

MR :  Kewujudan PN adalah secara tak sengaja demi menyelamatkan Malaysia drp PH dan DAP


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan