Header Ads

Header ADS

Pengetua, guru besar diminta guna budi bicara dalam tempoh PKPB


KUALA LUMPUR
– Pengetua dan guru besar (PGB) perlu menggunakan budi bicara yang sewajarnya dalam menentukan keperluan guru yang tinggal jauh untuk kembali ke stesen bertugas masing-masing dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Gabungan Alumni Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Malaysia, Dr Ab Wahab Che Mat berkata ini kerana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) boleh dilakukan secara dalam talian di mana sahaja hatta di kampung sekalipun dan tiada keperluan mendesak untuk memanggil guru berada di stesen bertugas pada waktu ini.

“PGB boleh memanggil guru dalam kuantiti seminimum yang boleh untuk membantu urusan pentadbiran yang dirasakan benar-benar penting di sekolah ketika ini. Namun, sekiranya sesuatu perkara itu boleh lagi dibincangkan melalui dalam talian, ia harus terus dilakukan melalui kaedah itu.

“Keutamaan buat guru kini ialah meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa di rumah sehinggalah sekolah dibuka kelak, jadi dengan ini ia sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan guru yang sudah berada di kampung untuk berfikir pulang bertugas dalam waktu terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular dalam media sosial bahawa terdapat arahan daripada PGB supaya guru kembali ke stesen bertugas masing-masing iaitu kediaman terdekat dengan sekolah kerana semua pejabat kerajaan telah dibuka bermula pada 4 Mei termasuk premis sekolah.

Perkara itu juga telah menimbulkan kesulitan kepada guru khususnya mereka yang terkandas di negeri untuk pulang kembali bertugas sedangkan tiada keperluan mendesak buat waktu ini termasuk urusan sesi persekolahan yang ditutup ekoran penularan wabak COVID-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berpendapat walaupun guru terikat dengan Aku Janji iaitu bersedia berkhidmat jika dipanggil bertugas seperti mana penjawat awam lain, namun perkara itu perlu dilihat dalam konteks semasa.

Beliau berkata ia perlu dilihat dengan kenyataan Perdana Menteri pada 1 Mei lepas di mana kerajaan mengutamakan kakitangan awam untuk bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat dan mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian.

“Saya rasa semua guru faham dengan Aku Janji sebagai penjawat awam, tapi disebabkan situasi semasa pandemik COVID-19, bukan dalam keadaan normal, ia tidak boleh diaplikasikan 100 peratus, kena akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa yang lebih penting.

“Jadi saya berharap PGB faham perkara ini dengan perancangan yang betul dan teliti pentadbiran sekolah itu masih boleh diteruskan dan guru boleh meneruskan tugas mereka di rumah masing-masing secara dalam talian sehingga satu tarikh yang sesuai diumumkan oleh pihak kementerian,” katanya.

Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Wan Wan Mohd Zahid Mohd Noordin pula berpandangan isu ini timbul kerana tidak ada ‘sumber autoriti’ sehingga berlaku percanggahan pendapat di peringkat bawahan termasuk PGB.

“Kita tidak mahu sesuatu arahan menjadi kelam kabut apa yang patut buat, ada rungutan sana sini dan menyebabkan pentadbiran lintang pukang. Jadi pihak atasan Kementerian Pendidikan perlu keluarkan satu garis panduan yang jelas dan akhirnya kecacatan sifar dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, seorang guru di facebook yang meluahkan pandangan berkata selagi tiada pengumuman rasmi pembukaan sekolah, PGB perlu bertolak ansur dengan memberi kebebasan untuk guru membuat pilihan untuk bekerja dari mana sekalipun.

Namun katanya, apabila kenyataan Perdana Menteri bahawa sektor ekonomi termasuk sektor awam akan dibuka, kemudian disusuli arahan-arahan supaya balik bekerja, maka guru terkejut seketika.

“Lebih menyulitkan lagi, semua arahan hanya berbentuk ‘taip di Whatsapp atau Telegram’ sahaja tanpa hitam putih rasmi. Ada negeri kata begini, ada negeri lain kata begitu.

“Pendapat saya, apa salahnya dalam tempoh berbaki cuma dua minggu sahaja lagi sebelum cuti sekolah (cuti hari raya Aidilfitri) akan datang, dibenarkan sahaja guru untuk terus kekal berada di mana-mana mereka berada sekarang.

“Hampir pasti sekolah tidak dibuka sebelum cuti sekolah ini. Sehingga saat ini pun tiada apa-apa pengumuman tentangnya,” katanya.

— BERNAMA




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


3 ulasan:

  1. Mari segera bergabung dengan kami.....
    menyediakan 9 permainan dalam 1 aplikasi
    di https://ajokartu.cc^^online 24 jam.
    segera di add W.A +85596 91 90856
    WwW.Ajokartu.cc | bonus rollingan 0,3% | bonus referral 20% | minimal deposit 15000

    BalasPadam
  2. Inilah rasanya peranan Menteri Pendidikan....buat sidang akhbar dan beri arahan yang jelas agar guru-guru tidak pening dengan arahan yang pelbagai dari banyak pihak terutamanya pihak sekolah/PPD/..jangan letakkan guru bingung dalam arahan yg berbeza mengikut negeri dan sekolah masing-masing.Tq

    BalasPadam
  3. Adakah semua guru seperti guru sekolah rendah atau pun tadika perlu kembali ke sekolah walau pun hanya di buka untuk spm,stpm dan sebagainya?

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.