Header Ads

ads header

Flash News

Solat Jumaat, jemaah tak lebih 30 orang dibenar di zon hijau di WP


PUTRAJAYA: Semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap waktu, termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima cadangan kebenaran itu, tetapi hendaklah mengikut syarat ditetapkan.

“Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat esok berdasarkan cadangan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5,” katanya pada sidang media hari ini.

Zulkifli berkata, mesyuarat memutuskan bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah tidak kurang daripada 3 orang, tidak termasuk imam, dan tidak lebih 30 orang.

Katanya, keputusan itu adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 12 Mei lepas.

“Pihak masjid, surau Jumaat dan surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan keadaan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri.

“Saya berhubung dengan ketua polis negara mengenai hal ini dan beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh,” katanya.


Zulkifli Mohamad
Zulkifli berkata, ahli jawatan kuasa masjid, surau Jumaat dan surau terpilih perlu memastikan tatacara operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

Beliau juga berkata kebenaran solat itu mestilah mengikut SOP ditetapkan seperti melaksanakan penjarakkan sosial di dalam dan luar masjid.

Selain itu, Zulkifli berkata jarak antara ahli jemaah adalah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai penutup muka.

“Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.

“Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid.

“Semua ahli jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing ke masjid,” katanya.

Zulkifli berkata, jemaah juga perlu dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang dan tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, pihak berkuasa agama negeri juga diminta mengambil serius isu itu dan mengambil langkah perlu bagi menyekat penularan covid-19 seperti mengadakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta merekodkan kehadiran jemaah.

“Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya, termasuk tandas dan ruang wudhu’ sebelum dan selepas solat.

“Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa. Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, mereka perlu diarah pulang.

“Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran, pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan,” katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan