KUANTAN: ‘Jangan curi please, sudah tiga kali tukar’ dan ‘Curi pokok free, naik kereta polis’.
Kecurian pokok hiasan sering berlaku di sekitar bandar ini dan setahun
kerugian dianggarkan mencecah RM50,000 mendorong Majlis Perbandaran
Kuantan (MPK) meletakkan tanda amaran tersebut.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal
berkata, lokasi paling kerap mengalami kecurian di Jalan
Kuantan-Pintasan dan Jalan Gambang.
Menurut beliau, pokok hiasan yang kerap dicuri ialah bougainvillea atau
bunga kertas yang ditanam bagi menghiasi taman-taman dan projek reka
bentuk landskap.
“Kekerapan kecurian tidak konsisten tetapi anggarannya jika 1,000 pokok hiasan ditanam, kira-kira 100 akan hilang.
“Pokok bunga itu akan hilang biasanya selepas tiga hingga empat bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Norkamawati berkata, harga pokok bunga antara RM20 dan RM30 sepokok menyebabkan ia menjadi sasaran pencuri.
Difahamkan, setiap tahun dianggarkan 3,000 hingga 5,000 pokok hiasan
dicuri di daerah ini yang berkeluasan 2,065 kilometer persegi
membabitkan lima mukim iaitu Kuala Kuantan, Ulu Kuantan, Hulu Lepar,
Beserah dan Sungai Karang.
Mereka yang mencuri pokok hiasan boleh didakwa di bawah Undang-Undang
Kecil 2(3) Undang-undang Kecil Vandalisme (MPK) 1994 iaitu denda tidak
melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya
sekali.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia
Pahang (UMP), Dr. Fatmawati Latada berkata, isu kecurian pokok hiasan
tersebut tidak membabitkan faktor psikologi tetapi lebih kepada soal
etika.
“Sebagai contoh, terdapat sekumpulan masyarakat yang tiada wang atau
kerja, mereka nampak peluang pokok hiasan di depan mata lalu mencuri dan
menjualnya.
“Di sudut lain, ada pula pengusaha kedai bunga atau nurseri sanggup
beli pokok hiasan yang baik dengan harga murah daripada pencuri,”
katanya dengan memberitahu kejadian tidak akan berakhir selagi ada
tawaran dan permintaan daripada kedua-dua pihak. - Utusan Malaysia
Tiada ulasan