Header Ads

Header ADS

Mufakat Nasional menyokong Muhyiddin PM semula selepas PRU-15 adalah kenang jasa kata penganalisis


Sokongan Umno dan PAS terhadap Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti mengundang pandangan tidak senang di kalangan beberapa pemimpin dan veteran di dalam Umno.

Ada yang beranggapan Umno tidak perlu mengorbankan peluang untuk menjadi parti paling dominan sekiranya menang dalam PRU akan datang, dengan mengambil kira bilangan kerusi mereka yang paling banyak dalam Perikatan Nasional (PN).

Ada juga yang percaya Umno bersama rakan Muafakat Nasionalnya, PAS, akan berdepan masalah dalam agihan kerusi sekiranya terus bekerjasama dengan Bersatu, dan mereka tidak akan meneruskan sokongan terhadap Muhyiddin dalam PRU-15 nanti.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), PM Dr Lee Kuok Tiung, Muafakat Nasional tidak harus lupa Muhyiddinlah - selaku presiden Bersatu - yang memberikan talian hayat kepada mereka sehingga kembali menjadi kerajaan hari ini.

Ini katanya, meskipun Bersatu mempunyai kerusi yang sedikit jika dibandingkan dengan kerusi Muafakat Nasional.

“Tidak timbul juga soal siapa lebih banyak kerusi pada ketika ini sebab apabila mereka berjaya membentuk PN dan kerajaan persekutuan yang baru maksudnya mereka telah capai konsensus bersama.

“Soalnya ialah untuk PRU-15, (tentang) pengagihan kerusi dan siapakah calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Masih terlalu awal pada ketika ini berbicara pasal (soal) menang-kalah ini.

“Muafakat Nasional tidak lupa, dan jangan lupa, (bahawa) Muhyiddin yang bagi ‘talian hayat’ kepada mereka untuk kembali menjadi kerajaan pada hari ini, meskipun berlaku pergolakan politik tempoh hari apabila (Dr) Mahathir (Mohamad) meletak jawatan,” katanya.

Kata Lee, meskipun Bersatu merupakan parti yang masih baru dan jauh lebih kecil berbanding Umno yang mempunyai struktur lebih unggul dan teratur di seluruh negara, Lee percaya, setiap pihak tetap akan berkompromi dalam soal pembahagian kerusi untuk PRU-15 nanti.

Soal sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri pula, Lee berpendapat ia bukanlah muktamad memandangkan apa-apa pun mungkin berlaku yang boleh mempengaruhi keadaan politik Malaysia.

Ini katanya, termasuklah undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang mungkin berlaku dalam sidang Parlimen 13 Julai nanti, keputusan mahkamah terhadap Najib Razak hujung bulan ini, serta soal siapakah yang akan menjadi ketua menteri Sabah yang sah bulan hadapan.

Buat masa sekarang, Lee percaya kini ialah masa untuk berbincang dan menyenarai pendek, serta mengemukakan nama calon perdana menteri untuk mendapatkan reaksi dan restu daripada rakyat.

“Jangan pemimpin-pemimpin atasan sana syok sendiri pilih siapa yang mereka mahu saja, sebab ia akan mempengaruhi undi pada pilihan raya kelak.

“[...] Mana tahu nanti ada cadangan nama timblan perdana menteri daripada Sabah atau Sarawak yang genuine dan bukannya ad-hoc,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bukan sekadar janji mulut

Isu agihan kerusi dan calon perdana menteri sememangnya menjadi perhatian banyak pihak sejak Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan Umno-BN, PAS, bekas ahli PKR, dan parti dari Sabah dan Sarawak, membentuk kerajaan baru PN.

Umno dan PAS sejak beberapa hari lalu membuat sokongan terbuka terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk PRU-15 nanti yang tidak disambut baik beberapa pihak di dalam Umno.

Antaranya Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah; Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi; Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin; bekas menteri Shahrir Samad dan Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub.

Mengulas mengenai sokongan terhadap Muhyiddin itu, bagi penganalisis politik dari Universiti Sunway Prof Dr Wong Chin Huat, apa yang penting, bukanlah sekadar janji di mulut, tetapi tindakan yang sebenar.

“Persoalannya, berapa kerusi yang Bersatu dibenarkan bertanding?” soalnya ketika dihubungi hari ini.

Kata Wong, jika dicampurkan dengan kerusi Azmin dan rakan-rakan serta kem Mahathir sekalipun, Bersatu hanya mempunyai maksimum 37 kerusi- masih rendah berbanding 57 yang dipegang oleh Muafakat Nasional- 39 oleh Umno dan 18 oleh PAS.

Katanya, dalam PRU-14, PH menang di 30 kawasan di semenanjung kerana undi BN dan PAS terpecah sedangkan jumlah undi mereka melebihi 50 peratus, dan daripada jumlah itu, lapan kerusi kini dimiliki Bersatu.

Manakala untuk PRU15, kata Wong, Umno dan PAS mensasarkan kemenangan sekurang-kurangnya di 39 kerusi Umno sedia ada, 18 kerusi PAS, dan 21 kerusi yang mahu dirampas semula.

“Mengapa mereka harus berikan jawatan PM kepada Muhyiddin yang cuma 37 kerusi maksimumnya?” soalnya.

Tambahnya, kerusi Bersatu mungkin berkurangan lagi memandangkan Umno Sabah telah menyatakan kesediaan membuka pintu buat tujuh ahli parlimen Bersatu di Sabah untuk kembali kepada Umno.

Selain itu, katanya ada kemungkinan Umno dan PAS meminta bertanding di kerusi yang kini dimiliki Bersatu, seperti di Jerlun, Kubang Pasu dan Sri Gading.

“Tak mungkin Umno yang ketika itu jangka akan dapat 60 kerusi atau lebih, boleh tahan (dengan) Muhyiddin dengan kerusi hampir separuh menjadi bos mereka?”

Malah, ramal Wong, sekiranya PRU-15 dilangsungkan awal dan Muhyiddin sekali lagi dinobat menjadi perdana menteri, beliau pasti akan diminta turun takhta tidak lama selepas itu dan menjadi perdana menteri yang paling singkat berkuasa, mengalihkan Mahathir era PH yang hanya berkuasa selama 22 bulan.

“Setiausaha peribadi utama Muhyiddin, Dr Marzuki Mohamad, adalah seorang ahli sains politik lepasan Australian National University yang ulung.

“Sebagai orang kanan setia kepada Muhyiddin, beliau sudah pasti arif sejauh mana janji di mulut Umno dan PAS ini boleh dipercayai,” tambah Wong lagi.

Sejak menumbangkan kerajaan PH hujung Februari lalu, PN masih belum berdaftar sebagai satu gabungan rasmi sehingga ke hari ini.


MR :  Satu pengorbanan demi kestabilan dan jangka masa hadapan


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Aku ini adalah penyokong MN Dan PN. Jika kerajaan PN gagal menangkap Dan menghukum pembunuh-pembunuh Adib Dan orang-orang yang bersubahat dengan mereka, Aku Dan saudara mara Ku tidak akan mengundi PN Dalam PRU 15.

    Dan Aku tidak akan membela MN dan PN dan tidak akan menentang cybertrooper ternakan Pakatan Hancing dalam internet walaupun sebelum ini Aku sibuk menentang fitnah-fitnah mereka dalam internet.

    Aku sedang menunggu dan melihat tindakan kerajaan PN seterusnya berkaitan kes Adib.

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.