Header Ads

ads header

Flash News

Muhyiddin ikrar kerajaan PN akan tegakkan prinsip undang-undang


PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin berkata, beliau memahami perasaan dan sentimen dibangkitkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah Najib Razak, tetapi kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya akan sentiasa menegakkan prinsip serta kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menyabitkan Najib bersalah atas semua 7 pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi bebas dan berkecuali,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Perdana menteri berkata, kerajaan menghormati keputusan bekas perdana menteri itu untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan mahkamah hari ini.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.”

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara ke atas Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Hakim mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan selama 12 tahun.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

# FMT
 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan