Header Ads

ads header

Flash News

Guan Eng mengaku tidak bersalah libatkan suapan RM3.3 juta

BUTTERWORTH: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pagi ini atas pertuduhan suapan wang tunai berjumlah RM3.3 juta melibatkan projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid atas dakwaan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694].

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu telah menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan tersebut yang dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown.

Suapan itu bagi mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM6.3 bilion yang Guan Eng diketahui secara langsung mempunyai kepentingan.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwaraya SPRM, Ahmad Akram Gharib; Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Guan Eng pula diwakili peguam, Gobing Singh Deo; Ramkarpal Singh; RSN Rayer dan V. Vemal Arasan.

Guan Eng juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di bawah akta sama bagi kes lain di mahkamah sama esok.

Terdahulu, Guan Eng tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi ditemani ahli keluarga termasuk isterinya, Betty Chew dan bapanya yang juga penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut kelihatan hadir memberi sokongan ialah beberapa pemimpin DAP serta pemimpin kerajaan negeri antaranya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy.

Di luar mahkamah pula, kira-kira 30 penyokong Guan Eng turut hadir memberi sokongan termasuk dengan memegang poster Solidariti Bersama Guan Eng.

Pada Jumaat lalu, Guan Eng turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berhubung projek yang sama.

Guan Eng membuat pengakuan itu di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di Kuala Lumpur di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak.

#Sumber : Utusan    
 









............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan