Header Ads

ads header

Flash News

Raja Segala Amal

1. Ustaz Hanafiah yang selalu muncul dalam rancangan Tanyalah Ustaz, TV9 pernah berpesan. Beliau menyampaikan suatu pesanan yang sebenarnya menjadi kewajiban setiap muslim. Katanya raja segala amal ialah DAKWAH. Kata ustaz, kadang-kadang orang memandang kecil kerja dakwah ini. Manakala kebanyakannya pula melepaskan tanggung jawab ini ke bahu orang lain atau organisasi tertentu.

2. Ustaz memberi satu contoh yang mungkin selama ini kita tidak terfikir. Katakanlah ada seorang kawan tidak pernah solat. Kita mengajar atau mengajak kawan itu mengerjakan solat. Akhirnya dengan berkat kesungguhan dakwah kita, ditakdirkan kawan itu pun tahu solat dan tidak meninggalkan solat lagi.

3. Masa berlalu, kawan kita tadi mempunyai anak. Diajar dan dipesannya pula anaknya itu agar mengerjakan solat. Lalu anaknya pandai solat dan mengerjakan solat dengan sempurna. Ketika itu kita sendiri pun mungkin tidak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan kawan kita itu. Tetapi apa pula yang berlaku di sisi Allah?

4. Tentunya Allah mengurniakan kepada kita pahala yang berterusan selagi kawan kita dan anaknya mengerjakan solat. Walaupun kita mati, pahala terus tercatat untuk kita. Kita sendiri pun tak sangka apa yang berlaku itu kerana pahala itu dalam ilmu Allah. Dan sebagai ahli barzakh pastinya pahala yang berterusan begitu merupakan suatu nikmat yang tak ternilai besarnya kepada kita.

4. Allah dan Rasulnya Muhammad s.a.w. telah mengkhabarnya melalui al-Quran dan al-Hadis. Sayangnya kita selalu alpa, ghaflah dan memandang remeh ajaran agama kita. Kalau kita lakukan pun, kita jarang istiqamah sedangkan istiqamah itulah perkara yang Allah suka walaupun sekecil membaca sekali surah pendek al-Ikhlas setiap kali sebelum melelapkan mata.

5. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di bawah Yang Dipertua-nya yang baru, Ustaz Nasruddin Hassan, membawa nafas baru berudara segar dalam gerakan kerja dakwah. Dengan sokongan dan dokongan pasti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri dan team-nya di Kementerian, ruang terbuka luas untuk kita berganding bahu memartabatkan Islam. Sebagai batu-bata dan mata rantai perjuangan, kita hendaklah merancakkan lagi kerja dakwah demi merealisasikan ‘Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.’

6. Mudah-mudahan setiap orang daripada kita merebut peluang dalam kerja dakwah ini. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini di mana maksiat dan kesesatan berlaku di sekeliling kita. Maksiat bersepah di alam nyata dan alam siber. Justeru, umat ini ada tanggungjawab di depan Allah untuk menyambung kerja para Rasul. Semoga kita tidak meremehkannya lagi.

#NekadBersamaIslam

#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam

#MAMPUCentre

BayangDiAir

7 /8 / 2020







............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan