Header Ads

ads header

Flash News

Kadi Daerah Johor Bahru lemas ketika selam skuba


KUANTAN: Kadi Johor Bahru, Mohd Fahami Abd Samad meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Azari Miskon berkata Mohd Fahami, 45, yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor dipercayai mula melakukan aktiviti selaman sekitar tengah hari tadi.

"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 1.57 tengah hari yang turut memaklumkan perkara itu kepada anggota polis di pulau itu.

"Pemeriksaan awal terhadap jenazah mangsa mendapati tiada kecederaan atau luka terbuka pada tubuhnya. Jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian," katanya ketika dihubungi di sini.

Azari berkata, pihaknya juga sudah merakam percakapan saksi, pegawai perubatan dan jurulatih menyelam bagi membantu siasatan.

Mohd Fahami adalah antara penyelam yang terbabit dalam Program Melarutkan Abu al-Quran ke laut yang berlangsung di Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 26 Ogos lalu.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi menyifatkan pemergian Mohd Fahami sebagai satu kehilangan besar buat warga Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah didampingi warga JAINJ dan disenangi masyarakat.

"Arwah amat disenangi dan sentiasa mendapat kerjasama daripada masyarakat ketika menjadi kadi di daerah Kulai lagi.

"Saya memang kenal rapat dengan arwah jadi saya rasa ia adalah kehilangan yang amat besar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Tosrin, arwah juga sangat komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas serta memastikan setiap amanah dilaksanakan sebaik mungkin.

Jenazah dijadualkan disolatkan di Masjid Mutiara Rini di sini esok, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah Mount Austin untuk dikebumikan.

#Sumber :  - BERNAMA  

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan