Header Ads

ads header

Flash News

Penularan terus melonjak - 100 kes baru Covid-19 hari ini


Setakat tengah hari tadi, kes Covid-19 baru di Malaysia menyaksikan lonjakan 100 lagi kes baru berbanding 62 kes, semalam.

Ia adalah kenaikan yang tertinggi dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes baru yang dilaporkan hari ini terdiri daripada 85 kes tempatan dan 15 kes import.

Lima belas kes import melibatkan dua warganegara dan 13 bukan warganegara. Ia adalah dari India dengan enam kes di Selangor, empat kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes di Negeri Sembilan dan dari Indonesia iaitu dua kes di Selangor.

“Daripada 85 kes penularan tempatan yang dilaporkan, 55 merupakan warganegara dan 30 bukan warganegara.

“Perincian kes adalah seperti berikut - Sabah (62 kes) daripada kluster Benteng LD.

“Dan Kedah (22 kes) daripada kluster Sungai dan Perlis (satu kes) juga daripada kluster Sungai,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abddullah pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ini, katanya, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini mencecah 9,559 orang dengan 295 lagi masih aktif.

Dia juga memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 128 kes atau 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat 12 kes yang telah pulih hari ini manakala terdapat tujuh kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai kluster Benteng LD yang melibatkan daerah Lahad Datu dan Tawau, Sabah, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 431 individu disaring bagi daerah Lahad Datu dengan 87 kes dikesan positif, manakala 1,579 individu disaring di Tawau dengan 41 kes adalah positif.

“Bagi kluster Sungai, seramai 470 individu disaring di Kedah dengan 25 kes dikesan positif, empat individu disaring di Perlis dengan satu dikesan positif dan lima individu disaring di Pulau Pinang dengan tiada kes dikesan positif buat masa ini,” katanya.

Sementara bagi kluster Telaga pula, seramai 4,410 individu disaring di Kedah dengan 10 kes dikesan positif manakala 46 individu disaring di Pulau Pinang dengan tiada kes dikesan positif setakat ini.

Sementara itu, KKM dalam laman Twitter rasminya memaklumkan daerah Lahad Datu kini berada di zon merah setelah bilangan kes meningkat kepada 87. Pada masa yang sama daerah Tawau (Sabah) serta Kota Setar (Kedah) mencatatkan 30 kes dan ke atas, manakala Kelantan, Terengganu, Labuan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Negeri Sembilan dan Johor kekal sebagai zon hijau.

Dalam sidang media itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 29,330 pengembara telah ditempatkan di stesen kuarantin setelah tiba di Malaysia sejak 24 Julai hingga semalam dengan 237 kes positif Covid-19 telah dikesan dan kebanyakan kes adalah dari India (42 kes), Filipina (27 kes) dan Indonesia (26 kes).

“Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperketatkan kawalan sempadan Malaysia bagi negara-negara berisiko tinggi terhadap Covid-19 mulai 7 Sept 2020.

“Terkini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memperketatkan kemasukan ke Malaysia bagi 23 buah negara. Sekatan ini tertakluk kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warganegara dari negara-negara yang mencatatkan kumulatif kes positif Covid-19 melebihi 150,000 kes," katanya.

Langkah itu, menurut Dr Noor Hisham, adalah sebagai usaha memperketat dan mempertingkatkan kawalan sempadan dan Kementerian Kesihatan akan meneruskan penilaian risiko berdasarkan situasi semasa Covid-19 di seluruh dunia dengan senarai terkini negara yang diperketatkan kemasukan akan diumum kerajaan dari semasa ke semasa.

MR :    Rakyat Malaysia makin abai akan SOP


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan