Header Ads

ads header

Flash News

Akar umbi Umno resah, keliru lihat Perikatan Nasional berantakan


ANGGOTA parti dan pemimpin akar umbi Umno kini resah dan amat keliru dengan perkembangan sejak sebulan lalu yang menyaksikan gabungan parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) berantakan.
Mereka tidak memahami hala tuju parti yang kini didorong ke pelbagai arah apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan memperolehi majoriti untuk mengambil alih kerajaan.

Kalangan pemimpin ini memberitahu, akar umbi keberatan untuk bekerjasama dengan PKR kerana mereka perlu berbaik dengan seteru lama, DAP.

Selain itu, mereka juga tidak faham kebijaksanaan di sebalik gerakan diatur penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Antaranya, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Nisham Mashidi yang berkata akar umbi juga tidak senang bekerjasama dengan Dr Mahathir.

“Nampak sekarang memang itu lah. Tak mahu DAP, tak mahu Anwar, malahan tak mahu Dr Mahathir. Ini sentimen akar umbi, sentimen itu terlampau kuat.


“Walaupun Ku Li (Tengku Razaleigh), sentimen (menyokong) beliau ada dalam Umno cuma di bawah (akar umbi) saya nampak masih keliru dan tertanya-tanya.

“Mereka masih menunggu sama ada betul atau tidak (akan berlaku),” katanya.


Kekeliruan serupa juga dilihat di bahagian Bandar Tun Razak, kata ketuanya Rizalman Mokhtar yang berkata akar umbi malah tidak faham kebijaksanaan menarik diri dari kerjasama PN.

Katanya, ahli Umno di situ juga resah melihat parti termakan dan melatah dengan permainan politik Anwar yang mahu mengambil alih kerajaan.

“Muncul macam-macam gabungan ini apabila Anwar kata ada bilangan (sokongan ahli Parlimen) ia tak datang keresahan politik lagi sebab kita faham Anwar cakap apa yang dia nak cakap.

“Soal Ku Li dengan Dr Mahathir itu soal yang lain.

“Tapi penyebab keadaan bercelaru ialah pendirian Umno, bila biro politik tak tahu hujung pangkal tiba-tiba fikirkan mempertimbangkan tarik diri daripada sokong PN,” kata Rizalman.

Beliau mengulas keputusan mempertimbangkan semula sokongan itu seperti diumumkan biro politik selepas mesyuarat pada Khamis lalu.

“Jadi disebabkan perkara itu muncul teori ini sekarang, kalau Umno tegas dengan pendirian, tak melatah dengan apa yang Anwar buat sebenarnya tiada isu.

“Ini pada pandangan saya, masalahnya saya lihat Umno melatah dan ikut rentak yang dimainkan oleh Anwar,” katanya.

Katanya sebahagian daripada ahli akar umbi kini berpuas hati apabila Umno berada dalam kerajaan selepas 22 bulan menjadi pembangkang.

Manakala sekumpulan lagi yang berpandangan Umno harus menjadi parti dominan dalam kerajaan kerana parti itu penyumbang terbesar dalam kerajaan hari ini.

“Saya tak kata berpecah jadi dua kumpulan, pendapat ini sebenarnya bergantung kepada keputusan pimpinan peringkat atasan.

“Ia meresahkan kita dari segi bagaimana meletakkan diri kita di tempat yang betul,” tambah Rizalman lagi.

Di Selangor, salah seorang pemimpin akar umbi yang menuntut Umno mendapat lebih banyak kuasa berkata parti itu patut dilayan dengan adil dan tidak dibiar menjadi melukut di tepi gantang.

Beliau yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, beliau juga kesal kerana tuntutan itu memperlihatkan seolah-olah parti itu gila kuasa apabila menarik sokongan daripada PN.

Walhal, Umno hanya menuntut hak parti tersebut selepas dikhianati Bersatu yang membentuk pengaruh dengan merampas ahli Parlimen mereka, kata pemimpin Pemuda itu.

“Kita dah sedia menjadi pembangkang, mereka yang heret kita menjadi kerajaan kemudian main-mainkan kita.

“Yang pecah rumah Bersatu, orang dia lari, lepastu dia curi ahli kita. Itu yang berlaku. Mereka pula nak nampakkan Umno gila kuasa.

“Kalau Umno gila kuasa kenapa menteri yang (berwibawa) mereka ambil. Kalau Umno gila kuasa kenapa perdana menterinya dari Bersatu,” katanya.

Jelasnya selain agihan portfolio menteri kerajaan, Bersatu juga perlu adil dalam agihan kerusi untuk pilihan raya umum kelak, katanya.

Selain itu, anggota akar umbi juga tidak berpuas hati kerana dakwanya Bersatu cuba merekrut ahli Umno dalam penubuhan cawangan baharu.

“Bersatu pun jangan curi ahli Umno. Kalau dia parti baru cari ahli parti lain jangan kita dah duduk satu rumah, mereka buka cawangan kemudian cari ahli Umno.

“Ini yang boleh hancurkan parti kita. Itu yang orang bawah marah. Ini bibit-bibit yang boleh membawa perpecahan apabila ahli Umno disuruh menjadi ahli Bersatu,” katanya.
 

Pada masa sama, Adun Umno itu mengkritik PAS yang dilihat cenderung memilih untuk bersama kumpulan yang berpengaruh semata-mata untuk mengekalkan kuasa parti Islam itu.

Katanya, anggota Umno di Selangor tidak senang dengan PAS kerana kedudukan parti itu lebih terjamin dalam PN walau mendapat kuasa kerana kerjasama dalam Muafakat Nasional.

Katanya, Umno kini kecewa kerana disisihkan PAS selepas kerjasama parti Islam itu dengan Bersatu yang lebih menguntungkan dalam PN didaftarkan sebagai pertubuhan sah.

“Macam mana (hubungan dengan PAS) tak tegang, dia bercinta dan bertunang dengan kita tapi bernikah dengan orang lain kemudian ajak kita bermadu.

“Kita bersama PAS dalam Muafakat Nasional, tidak berdaftar, tapi ada piagam dan tidak boleh bertanding pilihan raya… yang didaftarkan PN.

“PAS bercinta dengan kita setengah mati tahu-tahu nikah dengan orang lain dan kemudian ajak kita bermadu, isteri muda pula dilihat paling mulia, kita terasalah,” katanya.

Beliau tidak menolak langkah politik PAS itu berkemungkinan untuk menyelamatkan kedudukan mereka di pantai timur dan Kedah dalam pilihan raya akan datang.

“PAS tidak ada cita-cita tinggi, mereka hanya mahu jaga parti untuk pastikan Kelantan, Terengganu, dan Kedah milik dia,” katanya.
 

Satu lagi kumpulan di kalangan akar umbi Umno pula mahu semua atur gerak politik untuk berkuasa dihentikan sama sekali, seperti dijuarai Ketua Pemuda Umno Segamat Bastien Onn.

Katanya, beliau percaya Umno mampu bergerak sendirian tanpa perlu memilih untuk bersama mana-mana kumpulan untuk membentuk kerajaan, kata pemimpin akar umbi parti Melayu itu.

Walaupun parti itu terpaksa menjadi pembangkang buat masa ini, langkah itu lebih baik dan bermaruah daripada hanya diperlakukan ebagai pelengkap mana-mana kumpulan, kata mereka.

“Kalau diberi pilihan Umno lebih baik tak masuk mana-mana kumpulan, tidak menjadi masalah Umno kembali menjadi pembangkang.

“Saya lebih suka Umno jadi pembangkang (buat masa ini) dan beri ruang Umno pulihkan parti dan hadapi pilihan raya umum.

“Daripada menjadi pelengkap lebih baik jadi pembangkang, kita pulihkan semula parti dan diangkat kembali sebagai kerajaan tanpa bantuan parti lain,” katanya.

Exco Pemuda Umno itu berkata, ia satu jalan untuk menyelesaikan pergolakan politik tanah air waktu ini tanpa perlu mengadakan pilihan raya mengejut.

“Kami harap tidak berlaku pilihan raya umum dalam masa terdekat. Pemimpin kena cari jalan elak pilihan raya dan jalan ke hadapan untuk rakyat.

“Kita tak mahu berlakunya pilihan raya sehingga mengheret rakyat kepada ancaman Covid-19,” katanya lagi.

Bastien juga melihat gerakan diatur Tengku Razaleigh untuk menghentikan usaha Anwar mengambil alih kerajaan hanyalah tindakan bersifat sementara.

Oleh itu beliau berpendapat kesemua pihak perlu mengenepikan perbalahan politik dan usaha mengambil alih kerajaan buat sementara waktu.

“Lebih baik ada gencatan senjata sementara sehingga Covid-19 reda dan diadakan pilihan raya umum, sehingga itu ahli politik perlu fokus untuk meratakan lengkungan jangkitan Covid-19.”

Mohd Farhan Darwis
Diyana Ibrahim

#Sumber : TMI   

MR :  UMNO banyak kepala banyak ragam.. parti lemah untuk satukan mereka  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Kenapa sekarang minda rakyat macam nak jadi batu api dan penghasut dan makin galak ambil artikel daripada portal yang anti melayu seperti free malaysia today, malaysia insider dan sebagainya. mohon tukar atau pecat admin berkenaan. langsung tidak membantu.

    BalasPadam