Header Ads

ads header

Flash News

Mail Totey The Movie: Antara Unsur Didaktik Dan Komersialisme


Filem adalah pelakar sesuatu matlamat tersembunyi , pencerita zaman dan mesin propaganda yang menyihir akal manusia tanpa sedar . Juga menjadi alat propaganda dan wahana paling efektif untuk diselitkan sesuatu aspirasi dan agenda.

Besarnya pengaruh filem dan drama menyebabkan industri ini dikawal dan disaringtapis di negara tertentu. Filem juga satu dokumentasi tentang latar zaman, lihatlah bagaimana filem-filem Studio Jalan Ampas yang sangat berkesan mengambarkan sosio politik kaum Melayu dalam dekad 1950an dan 60an. Filem era itu terselit nuansa politik Shaw Brothers yang menunjangi fahaman Sosialisme ,namun tanpa sedar juga melibatkan rasa skeptikal dengan institusi beraja.

Filem-filem bersalut patriotisme di negara kita pula akan mendapat dokongan kerajaan seperti ' Bukit Kepong', ' Leftenan Adnan' , begitu juga di negara lain seperti kerajaan Libya yang membiayai filem ' The Lion of The Desert' yang menelan belanja puluhan juta USD. Filem sokongan dan dokongan kerajaan ini akan diulangtayang untuk menaikkan semangat patriotik rakyat dan tidak berorientasilan keuntungan.

Secara umumnya dalam dunia kapitalisme dan konsumerisme , faktor untung rugi akan diambil kira dalam pembikinan sesuatu filem. Maka untuk menarik penonton , pihak produksi akan mengkaji trend semasa, memanipulasi wajah-wajah jelita dan kacak, postur badan yang bertampang atletis, runut dan juga lagu tertentu bagi memacu pesona sesebuah karya filem.

Samada Jalan Ampas, Hollywood, Bollywood, K-Drama maka unsur ketampanan dan kejelitaan akan tetap ditangga pertama, selain bakat dan favoritisme . P.Ramlee dan Sarimah tidak lagi menjadi pelakon popular bila diusia 40an, Barry Prima , Yati Octavia, Meriam Bellina juga beransur dilupakan bila beranjak usia.

Pelakon dan pengkarya akan datang dan pergi dalam industri perfileman, tiada yang kekal maka sebab itu sangat subjektif untuk mengukur tahap kepiawaian bakat dan obsesi peminat.

Filem juga mampu menggarap naratif dan indoktrinisasi bagi mewujudkan " bogey" ,contohnya mewajahkan Islam agama terrorist, bukan sekadar berlaku dilahan Hollywood, Bollywood dan pelbagai negara, namun dalam industri filem Malaysia juga terjebak dalam naratif jelek menyudutkan Islam sebagai pemicu keganasan.

Dalam drama-drama Melayu, watak-watak antagonis bertudung labuh, berjubah dan memintal serban semenjak dekad 80an melatari drama dan filem Melayu. Filem "Fenomena" ," Jeneral Hambali", " Guru Yahya" dan puluhan yang lain adalah memualkan intelek.

Filem-filem dengan tema percintaan , aktor dan aktres yang sedang mengetop, bermodal besar, lumayan kontroversi dan publisiti biasanya akan menarik peminat untuk menonton dan membayar harga tiket. Lihat sahaja dalam sejarah industri filem negara kita , filem-filem pecah panggung dan menumpuk keuntungan.

Antaranya ' Munafik 2 ' ( 48 juta rm), " Hantu Kak Limah 3" ( 36 juta rm ), " PASKAL" ( 28.6 juta rm), " Munafik " ( 19.04 juta RM), " Ombak Rindu " ( 10 juta RM) dan lain-lain.

Kita mempunyai alasan yang munasabah untuk menghormati pengkarya muda seperti Syahmi Sazli yang telah memecahkan mitos industri perfileman negara ini. Filem ' Mail Totey The Movie' walaupun dengan barisan pelakon OKU seperti Asif, Yoe, Bedul, Yatin . Syahmi sebagai pelakon utama juga bukan daripada kategori pelakon kelas carta utama, namun keberaniannya menghasilkan filem dengan kos 400 ribu ini sangat menguja akal. Selama lapan hari ditayangkan , filem MTTM berjaya meraih sebanyak empat juta ringgit, jumlah yang besar dalam suasana suram akibat pandemik.

Anak Kelantan berbakat ini, asalnya mencuri perhatian di Youtube dengan filem spontan berdialek kelantan . Berjaya membimbing bakat-bakat baru yang berada dala kelas tersendiri, beliau lama membina reputasi dan pengaruh dikalangan anak muda medsos. Tujuh tahun lepas mula membuka saluran youtube , membuat video pendek yang sarat dengan unsur didaktik namun sangat menghiburkan penonton. Komedi santai dengan latarbudaya Kelantan itu juga kadang menggapai peminat sehingga ke Indonesia,Brunei dan Singapura, maka tak pelik jika Syahmi dipertahankan oleh pengikut setianya dimedsos apabila MTTM diperlecehkan.

Apa yang menarik juga, sesebuah filem boleh berjaya tanpa adegan sensasi, aktres menampakkan peha, adegan ranjang, sensate culture , kisah tragis percintaan dan bermodal tebal. Filem kita adalah wajah kita, MTTM telah membuktikan bahawa filem patuh Syariah juga boleh berjaya dan mempunyai khalayak penontonnya yang tersendiri.
Ustaz Riduan Mohd Nor
AJK PAS Pusat
Penulis adalah Pengerusi LESTARI
   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan