Header Ads

Header ADS

WHO puji Malaysia urus Covid-19


KUALA LUMPUR:
Keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik Covid-19 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.

Dalam ruangan komentar laman sesawang WHO bertajuk “Sebuah negara bersatu mendepani pandemik”, beliau berkata pada tahun sebelum pandemik, kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah untuk memperkukuh jaminan kesihatan Malaysia serta keupayaan tindak balas pelbagai sektor bagi kecemasan kesihatan dan kesediaan menghadapi bencana.

“Langkah ini termasuk persiapan dan penyertaan dalam Penilaian Luaran Bersama mengenai keupayaan teras Peraturan Kesihatan Antarabangsa dengan WHO pada penghujung 2019 bagi membantu mengenal pasti jurang paling kritikal antara sistem kesihatan manusia dan haiwan serta pembendungann bahaya alam sekitar

“Pengenalpastian jurang membolehkan penyusunan keutamaan keperluan dan peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas. Semua komponen ini memainkan peranan penting dalam tindak balas awal Malaysia terhadap pandemik,” katanya.

Lo berkata, pada peringkat awal penularan wabak pada Februari lalu, Malaysia meningkatkan akses kepada pengujian berkualiti, jumlah katil bagi jagaan kritikal dan ventilator.

Perkhidmatan kesihatan dipertingkat dengan pantas bagi memenuhi permintaan baharu dan yang dijangka sambil pada masa sama kerajaan mengoperasikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di peringkat nasional dan negeri, serta menggerakkan pengambilan dan penghantaran petugas kesihatan berdasarkan kawasan yang mempunyai beban kerja yang tinggi.

Beliau berkata, Malaysia juga mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus termasuk dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan serta beberapa fasa dan lelarannya yang berjaya mengurangkan bilangan kes Covid-19 kepada separuh pada April.

“Susulan syor utama WHO untuk ‘uji, rawat dan kesan’ penduduk, Malaysia melaksanakan strategi ‘kesan, uji, asing, rawat dan kuarantin’ bagi mengesan kes dalam masyarakat. Ia juga melaksanakan langkah ketat berhubung kuarantin dan pengasingan kes yang disahkan dan disyaki,” katanya.

Beliau berkata, pejabat wakil WHO turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta rakan kongsi bagi menyediakan sokongan kritikal dalam bidang penyelarasan rakan kongsi, maklumat dan perancangan, kepakaran teknikal, sokongan operasi dan logistik, contohnya WHO membekalkan kit ujian awal sebelum peralatan itu tersedia secara komersial dan menyediakan protokol ujian bagi diagnosis sepanjang Mac lalu.

Lo berkata, langkah signifikan diambil oleh kerajaan Malaysia bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat secara proaktif.

“Kerajaan Malaysia berusaha memastikan pendekatan menyeluruh terhadap komunikasi risiko dan penglibatan komuniti selain memupuk kepercayaan dalam kalangan penduduk.

“Sejak awal lagi kerajaan mempromosikan sumber boleh dipercayai bagi memastikan orang awam memperoleh maklumat tepat dan pada masanya mengenai perkembangan terkini Covid-19 serta mengimbangi risiko infodemik selain menumpukan kepada kempen media massa dan pemantauan media,” katanya.

Menurut Lo, WHO juga menyokong usaha KKM untuk memvisualisasikan dan menentukan matlamat jangka panjang bagi tindak balas dan kelestarian, menyediakan garis panduan untuk mempermudah perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti.

Beliau berkata, penggunaan model matematik bagi mensimulasikan dinamik penularan virus di Malaysia membantu pengunjuran senario jangkitan pada masa depan berdasarkan perubahan yang dijangka dalam pelaksanaan intervensi bukan farmaseutikal.

“Unjuran ini membolehkan pemodel menjangkakan keperluan sistem kesihatan negara seperti hospital dan katil unit rawatan rapi sekiranya berlaku lonjakan semula jangkitan,” katanya.

Katanya, pada masa depan usaha nasional harus terus mendorong rakyat untuk kekal berjaga-jaga memandangkan sikap waspada dan amalan pencegahan yang berterusan hanya satu-satunya cara untuk menghentikan penularan virus hingga vaksin yang selamat dan berkesan dapat disediakan.

Lo berkata, Malaysia perlu meneruskan kejayaannya sekarang dengan mengguna pakai pendekatan jangka panjang termasuk bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang kluster baharu dengan langkah bersasar dan setempat.

“WHO dan rakan kongsi akan meneruskan usaha membangunkan rawatan dan vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan selain menyelaraskan agihan yang adil ke seluruh dunia apabila semua ini tersedia kelak,” katanya.

Beliau berkata, semasa berusaha mengekang penularan Covid-19, Malaysia turut menghadapi wabak polio yang disahkan pada Disember 2019 dan jangkitan itu merupakan yang pertama sejak negara diisytiharkan bebas polio pada 1992.

“WHO, Unicef dan rakan kongsi lain bekerjasama dengan KKM untuk mengawal wabak menerusi pemantauan yang dipertingkat, pengesanan kes, komunikasi risiko dan penyambungan semula program pelalian, negara ini merupakan yang pertama menyambung semula kempen pelaliannya,” katanya.

MR :   Tapi geng PH kritik cara Kerajaan PN tanggani Covid-19 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Gila ke ape ni? Kes dari bawah 10 jadi 600 lebih kau cakap cekap? Kau sebut Malaysia secara keseluruhan tu yg buat statement kau kelaut.. mungkin kau nak ceria bab urus je.. kalau bab urus je aku rasa kenyataan kau betul.. KKM memang layak diberi pujian tapi buka kerajaan.. tugas kerajaan adalah membendung dan memastikan rantai pandemik terputus.. dan tugas tu ternyata gagal dijalankan oleh kerajaan.. tugas KKM lebih kepada menguruskan pesakit.. menyediakan prasarana rawatan dan procedure.. dan tugas KKM ni memang cekap... aku rasa MR mesti setuju dgn cara kerajaan menangani covid19 hingga kes naik cecah rekod baru.. pasal tu PH kritik dia tak setuju.. nak kipas PN pun agak2 laa.. jgn sampai akal tak berfungsi..

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.