Header Ads

ads header

Flash News

Peneroka Ladang Tennamaram tuntut jawapan dari kerajaan S'gor




Sekumpulan 100 peneroka di Ladang Tennamaram di Tanjung Karang, Selangor hari ini mengadakan protes dan menuntut jawapan daripada kerajaan negeri berhubung pajakan yang diberikan kepada dua syarikat swasta untuk menjalankan kerja-kerja di ladang tersebut.

Mereka mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mengadakan perbincangan dengan peneroka sebelum memberikan pajakan kawasan seluas 800 hektar, yang telah dibuka dan diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu.

R Logarajan, salah seorang pemimpin masyarakat yang hadir, berkata mereka hanya tahu bahawa tanah tersebut telah disewakan kepada syarikat swasta ketika pekerja syarikat itu mula membuat jalan masuk ke ladang berkenaan kira-kira tujuh bulan lalu.

"Kami baru dua bulan lepas tahu kerajaan negeri bagi pada syarikat.

"Tak ada bincang apa-apa dengan penduduk, dia orang surat ke apa pun tak ada bagi," katanya.



Logarajan, yang juga pemimpin MIC di kawasan itu, berkata peneroka berkenaan bimbang tentang masa depan jika mereka diusir daripada tanah tersebut.

Ini kerana masyarakat di situ telah mengerjakan tanah itu selama tiga generasi dan bergantung kepada tanah berkenaan bagi mendapat sumber pendapatan dengan menjual kelapa sawit dan menanam sayur.

Seorang lagi wakil peneroka, K Siva berkata buat masa ini, mereka masih boleh masuk ke ladang berkenaan untuk mengambil hasil tanaman mereka.

"Tapi dia (syarikat) kata nanti jalan dia masuk ke kawasan kebun, dia akan tolak dan kita tak boleh masuklah. Kita jangka minggu depan (syarikat berkenaan) akan mula masuk (ke ladang)," katanya.

Syarikat baru ditubuh dapat pajakan

Protes yang diadakan pagi tadi disertai Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap pajakan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor.



Bercakap kepada orang ramai dan petugas media, mereka mendakwa kerajaan negeri memberi pajakan selama 21 tahun kepada dua syarikat swasta yang baru ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pertanian di kawasan tanah tersebut.

Noh mendakwa syarikat tersebut ditubuhkan pada Julai 2018, hanya dua bulan sebelum mereka diberi pajakan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Kerajaan penyamun boleh bagi pada dua syarikat. Orang dia sama, alamat sama.

"Syarikat baru tubuh 2018. Dua bulan tubuh dah dapat 800 ekar. Ini adil ke tuan-tuan? Tidak!" kata Noh.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu juga membangkitkan niat sebenar syarikat tersebut apakah mereka benar-benar merancang untuk melakukan kerja-kerja pertanian di kawasan itu.

"Kita minta SPRM terus ambil tindakan. Laporan telah dihantar. Saya sendiri akan follow up tanya SPRM bagaimana syarikat dua bulan tubuh dapat tanah?

"Ini apa, ada kong kali kong ke di belakang," soalnya.



Santhara dalam ucapannya berkata dia juga akan masuk campur dalam perkara itu dan memperjuangkan nasib para peneroka.

"Saya juga lihat fakta-fakta dokumen, tiga generasi duduk sini.

"Jadi nampak ada sesuatu yang tak kena. Saya setuju dengan Tan Sri (Noh), kita akan hubungi MACC. Ini masalah rakyat, orang B40. Ini saja mata pencarian tuan-tuan, puan-puan.

"Ini golongan B40 yang harus diberi bantuan," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pertanian Izham Hashim untuk memberikan penjelasan.

Seorang pembantu Amirudin berkata mereka maklum mengenai isu tersebut dan dalam proses mengumpulkan maklum balas penduduk, manakala Izham berkata dia akan meneliti perkara berkenaan.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan