Header Ads

ads header

Flash News

Najib tidak disoal berhubung tujuan pemberian cek bernilai RM9.5 juta kepada Shafee – Saksi


KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak menyoal Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tujuan pemberian dua keping cek bernilai RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Mohamad Farid Jabar, 37, berkata beliau juga tidak berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu bagi mengesahkan mengenai pemberian dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang dikeluarkan Najib sendiri ke atas nama tertuduh (Muhammad Shafee) pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, 70, pada perbicaraan kes peguam veteran itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz sama ada saksi memperoleh apa-apa invois berhubung pembayaran RM9.5 juta itu, Mohamad Farid menjawab “Tiada”.

Pada prosiding lepas, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat nasihat guaman yang diberikan tertuduh kepada Najib, parti dan perdana menteri sebelum ini kerana beliau telah memberikan khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional atau UMNO untuk 46 fail petisyen pilihan raya dari 2004 dan 2006.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Farid berkata beliau tidak pernah bertanya atau mengeluarkan notis kepada Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan invois berhubung pembayaran RM9.5 juta itu.

Mohamad Farid, saksi pendakwaan terakhir turut mengaku bahawa beliau tidak melakukan sebarang penyiasatan ke atas fail-fail guaman di tetuan berkenaan serta tidak mengambil sebarang keterangan dari mana-mana anak guam Muhammad Shafee.

Harvinderjit: Adakah kamu diberitahu bahawa cek bernilai RM9.5 juta yang dikeluarkan Najib kepada Muhammad Shafee adalah kerana tertuduh (Muhammad Shafee) bertindak sebagai TPR dalam kes rayuan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Saksi menjawab “Tidak”.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Muhammad Shafee menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai TPR dalam kes Anwar.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 12 Mei.

— BERNAMA





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan