Header Ads

ads header

Flash News

Loke tolak khabar angin lebih ramai MP DAP tak tanding PRU15


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menolak khabar angin lebih ramai ahli parlimen daripada parti itu akan memilih untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke 15 akan datang.

Bagaimanapun, ahli parlimen Seremban itu berkata PRU 15 akan datang bakal menyaksikan lebih ramai calon baru daripada DAP.

“Setahu saya, satu-satunya ahli parlimen yang membuat pengumuman ini ialah Ong Kian Ming (ahli parlimen Bangi). Tiada pengumuman lain dibuat dan tiada keputusan lain oleh ahli parlimen lain.

“Tetapi dalam setiap pilihan raya, pasti akan pembaharuan, akan ada calon baru,” katanya dalam sidang media di Kajang,hari ini yang turut dihadiri Ong.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua akan mengikut jejak Ong.

Pada 9 Mei lepas, Ong mengumumkan keputusannya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon untuk PRU ke-15 akan datang.

Ong dalam kenyataannya turut mengakui keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada MAC lalu - apabila dia gagal terpilih - menjadi antara faktor dia mengambil langkah itu tetapi menjelaskan ia bukanlah sebab utama.

Susulan pengumuman Ong berehat daripada politik dan tidak menyertai pilihan raya akan datang, spekulasi bertiup kencang bahawa Tony Pua mungkin akan melakukan tindakan serupa.

Sementara itu, mengulas jika Adun DAP sedia ada di kawasan berkenaan akan menjadi calon ahli parlimen Bangi seterusnya, Loke berkata DAP kini bersikap terbuka dan tidak mengehadkan pilihannya.

‘Pengganti bukan calang-calang’

“Tiada sekatan seperti itu. Calon yang berpotensi boleh jadi sesiapa sahaja kerana syarat untuk menjadi calon parlimen sangat mudah.

“Selagi anda warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan ahli DAP, anda layak,” katanya.

Malah, Loke berkata proses pencarian bakal calon pengganti Ong akan bermula sekarang.

"Proses untuk kita cari pengganti (Ong) akan bermula dan ini juga salah satu sebab saya turun (ke kawasan parlimen Bangi) hari ini untuk berjumpa dengan akar umbi, untuk kita berikan sokongan dan berikan satu kepastian bahawa kesinambungan perjuangan kita akan diteruskan.

"Sebab perjuangan parti bukannya berdasarkan individu. Penggantinya akan dicari dan kita sudah tentu ada ramai calon-calon yang berpotensi.

“Bila dah namakan calon nanti bukannya calang-calang calonnya.

"Mestilah calon berwibawa dan kita yakin boleh dapat kepercayaan dan sokongan pengundi.

“Sebagai setiausaha agung parti saya berikan kepastian bahawa proses untuk cari pengganti di Bangi akan diberikan perhatian serius dan kita akan cari seorang pengganti yang kalau tak lebih hebat dari Ong pun harus setanding dengan beliau dari segi kewibawaan dan kelayakan calon tersebut," katanya

Kawasan parlimen Bangi mempunyai tiga kerusi DUN - Sungai Ramal, Balakong dan Seri Kembangan.

Kerusi Sungai Ramal disandang oleh Mazwan Johar daripada PKR manakala Balakong dan Seri Kembangan diwakili oleh Wong Siew Ki dan Ean Yong Hian Wah, daripada DAP.

Ong, yang merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pertama kali menang kerusi Serdang pada 2013 dengan menewaskan veteran MCA dan bekas ahli parlimen Yap Pian Hon dengan mengundi 79,238 undi (67.98 peratus).

Pada 2018, Ong mempertahankan parlimen Bangi yang lebih luas (dinamakan semula selepas persempadanan semula 2018) dengan menewaskan Liew Yuen Keong daripada MCA, Shafie Ngah daripada PAS dan Dennis Wan daripada PRM selepas meraih 102,557 undi (65.6 peratus).

DAP pertama kali menang kerusi Serdang dalam tsunami pilihan raya umum 2008 selepas Teo Nie Ching menewaskan Hoh Hee Lee daripada MCA apabila menang 64.23 peratus (47,444) undi.

Selain itu, Loke berkata parlimen Bangi akan menjadi kawasan pengundian yang mencabar kepada DAP pada PRU15.

Gambar fail.

Loke berkata ini disebabkan kawasan itu mempunyai jumlah pengundi yang tinggi, mencapai lebih 300,000 penduduk dengan hampir 100,000 daripada jumlah itu adalah pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun.

"Ramai anak muda tinggal di kawasan parlimen ini, disertakan demografi (Bangi) di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Jadi, kepada sesiapa sahaja calon yang bakal menggantikan Ahli Parlimen Bangi (Dr Ong Kian Ming), ini satu faktor mencabar yang juga perlu dipertimbangkan parti dalam menghadapi PRU15," katanya.

Bagaimanapun, Loke berkata dia yakin segala kesukaran akan dapat diatasi dengan bantuan daripada Ong meskipun pemimpin DAP itu memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.

Katanya, Ong akan terus membantu parti dan akan memberi lebih masa untuk mencari calon yang bersesuaian dengan demografi Bangi.

"Kita akan terus mendapat pertolongan Ong untuk memastikan sesiapapun calon akan terus mendapat sokongan rakyat kerana (bagi kawasan parlimen Bangi yang tinggi jumlah pengundi) kita perlu masa (yang lebih) untuk calon bergerak dan mengenali kawasan ini, bukannya menunggu sehingga parlimen dibubarkan.

"Ini merupakan satu daripada faktor Ong mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding lebih awal supaya kita ada masa lebih panjang dalam mengenal pasti calon yang sesuai untuk kawasan Bangi," katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan